My Podium

Thursday, February 15, 2007

Kabinet pasang siap..mudah pasang & cabut semula

Aneh! Itulah reaksi yang dapat saya nyatakan terhadap beberapa isu yang melibatkan badan eksekutif tertinggi di negara kita.

Sebagai seorang bapa kepada lima anak yang sedang bersekolah, pengumuman memanda Menteri Pendidikan dua tahun lepas bahawa kerajaan akan menyediakan pinjaman buku teks kepada semua murid sekolah bermula sessi persekolahan tahun 2008 amat melegakan saya. Ia melibatkan penjimatan wang yang agak besar ketika musim sessi sekolah bermula. Awal tahun ini sahaja, sejumlah wang yang saya mampu kumpul dan asingkankan khusus untuk biaya awal persekolahan tidak cukup. Terpaksa pula saya meminjam wang simpanan isteri saya. Entah bila pula nak bayar semula, saya sendiri kurang pasti. Untung juga tidak pinjam dengan “Ah Long”, kalau tidak bunganya (riba’) saja boleh mencapai puluhan ribu ringgit. Walhal, saya pasti ramai juga di luar sana yang terpaksa mengadu nasib pada “Ah Long” kerana tiada alternatif lain.

Tetapi, bila minggu lepas memanda Perdana Menteri pula mengumumkan bahawa kerajaan menarik balik hasratnya untuk memberikan pinjaman buku teks kepada seluruh warga pelajar, saya kecewa dan mengandaikan sesuatu yang amat tidak kena berlaku kepada sistem dan pengendalian kabinet Malaysia. Dinyatakan oleh memanda PM bahawa dengan sesungguhnya negara kita tidak mempunyai peruntukan untuk menyediakan buku teks kepada seluruh warga pelajar yang meilbatkan ongkos ratusan juta ringgit. Mungkinkah memanda PM lupa, kira-kira beberapa purnama lalu beliau mengumumkan peruntukan khas RMK-9 sebanyak RM600 juta untuk diagihkan melalui ketua-ketua bahagian “Parti Cap Keris” seluruh negara. Wang sebanyak itu pastinya lebih dari cukup kalau sekadar untuk membeli buku teks anak-anak sekolah.

Ada pihak menyebut bahawa memanda Menteri Pendidikan tidak merujuk kepada kabinet ketika mengumumkan keputusannya untuk memberikan pinjaman buku teks dua tahun lalu. Kalau itu yang sebenarnya terjadi, kenapa perlu mengambil masa dua tahun untuk membuat pembetulan? Apakah mungkin kabinet Malaysia selembab itu?

Apakah juga mungkin seorang menteri kabinet boleh mengumumkan sesuatu program yang melibatkan ratusan juta ringgit duit negara tanpa merujuk kepada persidangan kabinet? Apakah mungkin menteri kita sampai begitu tahap tidak cerdiknya? Bagaimana pula dengan tahap kecerdikan memanda menteri lainnya? Apakah tidak mungkin mereka semua itu sebenarnya dua kali lima?

Dua hari lepas, kabinet membuat keputusan pula untuk membatalkan tawaran hadiah cabutan bertuah kereta nasional kepada warga Malaysia yang menukar kad pengenalan mereka kepada Mykad sebelum tarikh akhir yang ditetapkan. Sekonyong-konyongnya, tindakan itu karut! Begitulah kata memanda menteri yang menjaga urusan dalam negeri.

Hakikatnya, tiada siapa yang meminta diadakan hadiah dan tiada siapa memohon diadakan cabutan bertuah. Angin tidak, ribut pun tidak, tiba-tiba sahaja memanda menteri terdahulu menawarkan hadiah. Mungkin kerana teramat gembiranya beliau mendapat isteri baru yang digelar “wanita Melayu tercantik” waktu itu. Tetapi janji adalah janji….oh yaa, mungkin…kecuali janji menteri! Saya teringat seorang bekas ilmuan negara sekonyong-konyong berpantun, “siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama jadi menteri”.

Angin tidak, ribut pun tidak, tiba-tiba sahaja memanda menteri baru membatalkan tawaran hadiah yang dijanjikan oleh menteri lama. Kalau arwah P. Ramlee masih hidup, mungkin beliau boleh buat filem lawak yang hebat dengan cerita ini. Kalau dulu ada filam “Musang Berjanggut”, musang jenis apa pula agaknya yang layak diberi nama untuk menggambarkan situasi kabinet negara kita sekarang.

Begitu juga halnya dengan keputusan kabinet untuk menawarkan hadiah kepada warga yang mendapat bukti bergambar pemandu yang melanggar peraturan jalanraya. Keputusan tersebut dibatalkan semula selepas 3 hari diumumkan. Apa dah jadi dengan kabinet Malaysia dan seluruh memanda yang berada di dalamnya? Anda berada dalam badan tertinggi membuat keputusan berkenaan dengan polisi negara yang melibatkan kehidupan dua puluh juta manusia.

Takkan pak menteri kita bermesyuarat dan buat keputusan macam para JKKK bermesyuarat dan buat keputusan. Mestilah dibincang secara tuntas, baik buruk ditimbang sebaik mungkin, dan segala pandangan diambil kira, barulah boleh buat keputusan. Tapi, kalau itu semua telah dilakukan, bagaimana mungkin sesuatu keputusan yang dibuat di dalam mesyuarat kabinet boleh dibatalkan selepas 3 hari sahaja. Apakah mereka menggunakan kaedah melontar duit syiling di dalam membuat keputusan sepertimana para pelajar sekolah yang kurang cerdik meneka jawapan dalam soalan objektif? Tentunya itu tidak logik dilakukan oleh para memanda yang gajinya berbelas ribu tak termasuk pelbagai elaun dan kemudahan lainnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home