My Podium

Sunday, December 21, 2008

Kadok naik junjung

Berita dibawah dipetik dari Utusan Online.
Sejak bila pula Ketua Polis Selangor dilantik jadi jurucakap Sultan? Atas kapasiti apa dia bertindak mengeluarkan kenyataan untuk pihak Istana?

Dato' Khalid sudah macam "Kadok naik junjung". Padahal tugasnya dalam isu ini hanyalah menyediakan kertas siasatan sekiranya ada unsur jenayah atau pelanggaran undang-undang dan menyerahkan kepada pejabat Peguam Negara. Bagi saya mudah saja, kalau tidak ada pendakwaan yang berwibawa yang dibawa kemuka pengadilan dalam isu ini, Dato' Khalid hanya pandai bersendiwara dan main politik...makan GAJI BUTA.


Sultan Selangor dukacita kanak-kanak dieksploitasi

PETALING JAYA 20 Dis. - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa dukacita terhadap pihak yang sanggup mengeksploitasi kanak-kanak dalam menjalankan kempen dan aktiviti mereka.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, titah Sultan Selangor itu disampaikan kepadanya sebelum baginda berangkat ke luar negara kelmarin.

Beliau berkata, baginda amat mengambil berat berhubung perkara itu dan mengarahkan polis mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melakukan perbuatan tersebut.

"Baginda berasa dukacita di atas perkembangan yang berlaku, Tuanku ingin perkara ini dihebahkan kepada semua khususnya kepada rakyat Selangor," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kelmarin, sebuah kumpulan tidak berdaftar yang menggelarkan diri mereka Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) menggunakan remaja dan kanak-kanak untuk menyertai kempen berbasikal ke bangunan Parlimen.

Menurut Khalid, sehubungan itu, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengeksploitasi kanak-kanak dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Tegasnya, tindakan demi keamanan dan keselamatan negara akan diambil mengikut Seksyen 27 Akta Polis dan Seksyen 32 (b) Akta Kanak-kanak 2001.

"Sepatutnya mereka (penganjur) mendidik kanak-kanak supaya cintakan negara dan melakukan kebaikan bukan untuk melahirkan perasaan menentang," katanya.

Ditanya tindakan Majlis Peguam yang menyebelahi pihak yang melakukan kesalahan, beliau berkata, tindakan tersebut adalah tidak adil.

"Seharusnya Majlis Peguam yang merupakan sebuah pertubuhan dihormati, memelihara keluhuran undang-undang," katanya.

"Sebaliknya, apabila pihak berkuasa melaksanakan undang-undang, mereka salahkan kita pula. Apakah ini betul?" soalnya.

Khalid turut menafikan dakwaan bahawa pihak polis menekan dan mengasari remaja serta kanak-kanak yang menyertai Jerit semasa mengendalikan siasatan terhadap mereka.

"Penganjur yang sebenarnya menekan kerana menyuruh kanak-kanak bawah umur mengayuh basikal dari utara ke Lembah Kelang," ujarnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home