My Podium

Saturday, January 23, 2010

Allah Tuhan Yang Satu.

(1)
Orang Melayu ramai yg beranggapan bahawa Kristian & Yahudi menyembah tuhan yang lain dari tuhan yang disembah orang Islam. Anggapan ini adalah salah. Hakikatnya, sepertimana yang dijelaskan oleh Al-Quran, Kristian dan Yahudi menyembah tuhan yang sama dengan tuhan yang disembah oleh orang Islam. Sebab itu agama mereka disebut sebagai agama samawi atau “Abrahamic”.
Kristian dan Yahudi itu dianggap sesat kerana mereka “MENSYIRIKKAN ALLAH” dan “MENGUBAH HUKUM ALLAH”. Tindakan mereka menolak kerasulan Muhammad SAW juga adalah hasil tindakan mereka mengubah kandungan kitab Allah. Ya! Kitab mereka juga berasal dari Allah, tuhan yang sama yang disembah oleh umat Islam, dan mereka mengubahnya. Tetapi mereka tidak menolak hakikat bahawa kitab asalnya adalah dari Allah jua.
Sekiranya orang Melayu memahami ini, maka mereka akan faham bahawa jika orang Melayu menyembah Allah, tetapi pada masa yang sama MENSYIRIKKAN ALLAH dengan sembahan yang lain (cth: ideologi ciptaan manusia) dan MENGUBAH/MENOLAK sebahagian HUKUM ALLAH, mereka juga adalah sebenarnya sesat seperti sesatnya Kristian dan Yahudi.
Isu kalimah Allah ini seharusnya memberi ksedaran kepada umat Islam bahawa sekadar menyembah Allah sahaja belum cukup untuk menjadi seorang itu Muslim, tetapi yang lebih penting ialah mentauhid dan mengESAkan Allah. Kalimah shahadah yang bermula dengan lafaz “la ilaaha..” jelas memberi penekanan terhadap menolak segala bentuk syirik.
Bagi saya, kalau seluruh agama samawi menggunakan kalimah Allah, ia akan memberi lebih kefahaman kepada umat Islam tentang peri pentingnya menolak SYIRIK dalam segala bentuk yang ada. Orang Melayu akan faham bahawa orang-orang Yahudi dan Kristian menjadi sesat dan kafir bukan kerana mereka mereka tidak percaya kepada kewujudan dan kekuasaan Allah, tetapi kerana mereka mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah dalam bentuk pengibadatan dan hukum-hakam kehidupan mereka.
Mengharamkan penggunaan kalimah Allah bagi Kristian atas alasan ia akan mengelirukan umat Islam adalah merupakan satu kekeliruan, seolah-olah konsep Trinity sahaja yang SYIRIK. Padahal SYIRIK itu boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Apa untung umat Islam mengatakan bahawa tuhan mereka tidak sama dengan tuhan agama-agama Samawi yang lain? Bukankah ianya akan lebih mengelirukan umat Islam sendiri tentang ajaran Islam yang sebenar.
Kalau kita mahu mengharamkan kalimah Allah digunakan oleh orang Kristian, maka kita juga seharusnya mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh sesiapa sahaja yang MENSYIRIKKAN ALLAH dan yang menolak HUKUM ALLAH, kerana membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh mereka juga mungkin akan mengelirukan umat Islam.
Ada yang berhujjah bahawa penggunaan kalimah Allah oleh orang-orang Kristian akan menyebabkan umat Islam yang kurang ilmu pengetahuan terpengaruh dengan dakyah Kristian dan boleh menjadi murtad. Kalau itulah hujjahnya, maka masalahnya bukanlah soal penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian tetapi sebenarnya ialah kejahilan umat Islam sendiri. Maka, kita mesti mengakui masalah ini secara jujur. “We must call a spade, a spade.”

Kejahilan sebahagian umat Islam tidak boleh diselesaikan dengan mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian. Ini amat jelas. Tidak pernah berlaku, tidak sekarang,dan tidak juga akan datang. Masalah ini hanya boleh diselesaikan dengan setiap kita mengambil tanggungjawab dakwah dan tarbiyyah secara lebih serius dan bersungguh-sungguh. Tidak mungkin ada jalan pintas lagi.

(2)

Majoriti penganut Kristian tidak menggunakan kalimah Allah. Hanya sebahagian kecil sahaja yang menggunakan kalimah Allah. Orang-orang Kristian Arab dan Nusantara adalah termasuk sebahagian kecil yang menggunakan kalimah Allah.

Saya kira tindakan The Herald membawa isu ini ke mahkamah bukanlah tindakan yang bijak di pihak mereka. Mereka tidak ada alasan yang jelas untuk berbuat begitu. Makanya, amat mudah untuk orang berpersepsi negatif apabila ia melakukan sesuatu yang begitu sensitif tanpa alasan yang jelas.

Allah adalah perkataan yang berasal dari bahasa Arab. Ia bukan perkataan Melayu. Kalau mereka mahu menggunakan kalimah Allah, maka seharusnya teks dalam Bahasa Inggeris juga menggunakan kalimah Allah, maka barulah nampak konsisten kalau ianya mahu dikekalkan begitu apabila diterjemahkan kepada Bahasa Melayu atau bahasa apa pun. Tetapi amat tidak munasabah kalau perkataan “God” dalam Bahasa Inggeris menjadi “Allah” dalam Bahasa Melayu, kerana “Allah” itu bukan Bahasa Melayu pun. Terjemahan perkataan “God” dalam Bahasa Melayu adalah “Tuhan”. Itulah yang difahami dan diterima oleh para penterjemah seluruhnya.

Walaupun secara dasarnya, Islam tidak menghalang penggunaan kalimah Allah oleh pengikut agama Samawi, tetapi tindakan di atas melahirkan “high suspect” kerana ketiadaan konsistensi. Inilah yang menimbulkan masalah. Orang akan bertanya, “kenapa perlu guna nama Allah untuk terbitan berbahasa Melayu sahaja?”. “Apakah mereka ada hasrat yang tersembunyi”. Telahan-telahan manusia boleh menjadi liar diluar dugaan. Dan inilah yang sedang berlaku dalam polemik isu penggunaan kalimah Allah ini.

Pihak The Herald juga mesti menjernihkan telahan-telahan seperti ini. Mereka tidak boleh hanya menagih hak mereka tanpa mengambil tanggunjawab kesan-kesan yang dihasilkan oleh tindakan mereka.

Maka itu, jalan penyelesaian ialah dialog dan dakwah, bukan keganasan dan kebencian.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home