My Podium

Thursday, February 18, 2010

Teknologi Hijau Untuk Masa Depan

[1]

Majalah Discovery keluaran terbaru menerbitkan satu artikel yang begitu menguja minda saya. Ia menyebut tentang geran penyelidikan yang diberikan oleh Kerajaan Amerika Syarikat kepada sebuah syarikat pembekal panel solar bagi menjana tenaga melalui satu projek “Electrical Highway”. Kajian menunjukkan sekiranya permukaan lebuhraya boleh bertindak sebagai panel solar yang akan memproses cahaya matahari menjadi tenaga elektrik, maka jumlah tenaga yang bakal dihasilkan oleh permukaan jaringan lebuhraya di seluruh negara dalam tempoh setahun dengan kadar hanya 15% efficiency sahaja boleh membekal tenaga elektrik kepada seluruh negara selama tiga tahun. Ini bermakna, selain mempunyai bekalan tenaga yang cukup, negara juga boleh menjual dua pertiga dari tenaga yang dihasilkan kepada negara lain. Memandangkan jaringan lebuhraya dan jalanraya mampu sampai kelesuruh pelusuk negara, maka jaringan elektrik pendawaiaan boleh disekalikan dengan jaringan lebuhraya dan jalanraya tanpa perlu kepada “Electrical Power Grid” konvensional. Ini sekaligus mengurangkan “distribution cost” kepada pengguna.

Bukan itu sahaja, sekiranya projek ini berjaya ia akan merevolusikan dunia pengangkutan jalanraya dunia. Dengan tenaga elektrik yang dihasilkan oleh lebuhraya dan jalanraya ini, maka jalanraya boleh “dicahayakan” pada waktu malam sepenuhnya dengan tenaga elektrik yang dihasilkan oleh jaringan jalanraya itu sendiri. Keselamatan jalanraya boleh dipertingkatkan kepada pengguna selain penguatkuasaan dan pemantauan penggunaan jalanraya boleh dibuat secara “realtime” dengan jaringan pengesan (sensors) dan kamera CCTV yang boleh dipasang di sepanjang lebuhraya. Pengguna jalanraya boleh mengetahui keadaan kesesakan lalulintas secara terus melalui sistem ini tanpa menunggu perlu laporan pihak ketiga. Di negara sejuk, sistem pemanas dan pengering juga boleh dipasang bagi mencair dan menyahkan salji atau air hujan secara lebih berkesan disepanjang lebuhraya.

Lebih mengujakan saya ialah prospek terhadap pemuliharaan alam sekitar. Sekiranya lebuhraya dan jalanraya boleh membekalkan tenaga elektrik secara lebih murah dan konsisten kepada kenderaan, tentunya kita boleh mengucapkan selamat tinggal kepada penggunaan petrol untuk kenderaan kita. Pengurangan penggunaan “carbon-based fuel” dalam sistem pengangkutan ini pastinya akan memberikan impak besar di dalam usaha pemuliharaan alam sekitar. Industri kenderaan elektrik akan berkembang pesat. Inilah yang saya maksudkan sebagai “Revolusi Dunia Pengangkutan”. Bukankah penyumbang terbesar kepada pencemaran udara dan pemanasan global adaah sektor pengangkutan dan sektor penjanaan tenaga.

[2]

Penghasilan solar panel yang boleh menjadi bahan pembinaan lebuhraya yang sekaligus bertindak sebagai penjana tenaga elektrik mempunyai cabaran teknikal yang menarik. Para saintis bahan perlu mencari penyelesaian bagaimana untuk menghasilkan bahan lutsinar yang tahan dan selamat untuk digunakan sebagai permukaan lebuhraya. Dilaporkan bahawa usaha kearah itu sudah hampir berjaya dan teknologi itu akan berada dipasaran dalam beberapa tahun akan datang.

Cabaran seterusnya ialah dari sudut keselamatan penjanaan, penyimpanan, dan pendawaian tenaga elektrik di sepanjang jalanraya yang pastinya terdedah kepada pengguna awam, selain penyalahgunaan dan kecurian oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ini akan juga menyebabkan para pekerja pembinaan “jalanraya elektrik” perlu melalui latihan dan mempunyai kemahiran yang lebih berbanding pembinaan jalanraya sekarang kerana kualiti kerja, disiplin, dan pengesahan kerja perlu dibuat secara lebih ketat dan bersistematik.

Dalam kata lain, sebahagian para kontraktor pembinaan perlu bersedia mengubah budaya kerja mereka ataupun mereka perlu bersedia untuk gulung tikar. Melihat kepada kualiti jalanraya yang dibina oleh kontraktor sekarang, saya fikir mereka perlu banyak membuat peningkatan dalam kaedah pengurusan dan budaya kerja mereka.

Saya fikir Kementerian Sains, Teknologi dan Innovasi, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pendidikan Tinggi perlu memikirkan secara serius keperluan teknologi ini memandangkan bekalan minyak mentah negara mungkin hanya akan bertahan sikitar 15 hingga 20 tahun lagi.

[3]

Bekalan tenaga bukanlah satu-satunya masalah besar yang dihadapi oleh negara-negara maju dan membangun. Penduduk dunia juga dijangka akan menghadapi krisis bekalan air bersih. Lebih-lebih lagi apabila banyak kawasan tadahan air tidak dapat lagi dipertahankan bagi memberi laluan kepada keperluan pembangunan, perumahan, dan pertanian yang semakin mendesak.

Secara logiknya, sekiranya jalanraya boleh digunakan untuk menadah cahaya matahari bagi menghasilkan tenaga elektrik, maka jalanraya yang sama juga boleh digunakan untuk menadah air hujan yang kemudiannya di bersihkan, disimpan, dan disalurkan untuk kegunaan awam. Dalam kata lain, jalanraya boleh dijadikan kawasan tadahan hujan “artificial” bagi membekalkan air kepada pengguna. Ini tentunya amat bermanfaat kepada negara seperti Malaysia yang menerima kadar hujan yang agak tinggi.

Memang kita akui bahawa teknologi panel solar dan “water havesting” sudah lama diamalkan. Bagaimananapun ianya belum sampai ke peringkat “mass commercial” yang boleh memberikan tahap skala ekonomi yang munasabah untuk justifikasi kos bagi melaksanakannya secara komprehensif. Setakat ini kegunaannya terhad kerana kosnya agak kurang kompetitif.

Dengan projek “Electric Highway” dan “Water Havesting Highway” ini, secara tidak langsung akan membawa dua teknologi ini ke peringkat “mass commercial” yang memungkinkan ianya diamalkan secara lebih meluas dengan kos yang munasabah.

Dana permulaannya memang amat besar dan ianya mesti dibiayai seahagian besarnya oleh kerajaan. Tetapi, dari sudut jangka panjang, saya percaya ianya lebih banyak memberi manfaat kepada alam sekitar, kualiti hidup rakyat, dan juga kos kehidupan.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home