My Podium

Monday, May 14, 2007

Penduduk kampung Hulu Semenyih tersiksa bau busuk.

Para penduduk Kampung Pasir di Hulu Semenyih yang terpaksa menghadapi masalah mencemaran bau busuk yang keterlaluan akibat dari operasi kilang RDF (Refuse Derived Fuel) yang didirikan di kampung tersebut sejak setahun lalu telah mengadakan tunjuk perasaan di hadapan kilang tersebut bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka dengan sikap pengurusan kilang dan pihak berkuasa yang tidak mengambil apa-apa tindakan bagi mengatasi masalah yang dihadapi penduduk.

Tinjauan penulis ke tempat tersebut pada waktu petang mendapati pencemaran bau busuk yang teruk di sekitar kilang tersebut yang beroperasi hampir dengan penempatan penduduk kampung. Menurut penduduk kampung tersebut, bau yang amat busuk biasanya dihadapi penduduk kampung pada waktu malam di mana mereka melihat kepulan asap tebal biasanya akan dilepaskan pada waktu tersebut. Pencemaran bau busuk ini amat mengganggu kehidupan ratusan penduduk kampung sehingga menghilangkan selera makan serta keselesaan beristirehat di rumah bersama keluarga.

Ketua Dewan Pemuda PAS Hulu Langat, Saudara Saney Hamzan yang berucap dalam tunjuk perasaan tersebut melahirkan rasa kesal di atas sikap pihak berkuasa dan wakil rakyat yang langsung tidak prihatin dengan penderitaan penduduk kampung terbabit. Beliau berjanji akan terus memperjuangkan hak rakyat di situ dan menyeru seluruh penduduk kampung bersatu-padu menyatakan bantahan mereka supaya suara mereka akan lebih diberi perhatian.

Saudara Zulkifli Mohamed Omar, Pengerusi Jawatankuasa Anti-Insinerator, yang turut hadir juga menawarkan diri untuk berkongsi pengalaman dengan penduduk kampung tersebut bagi mengulangi kejayaan jawatankuasa tersebut menggerakkan usaha membantah pembinaan insinerator Broga. Beliau menyarankan penduduk kampung menyeret pihak terbabit kemuka pengadilan memandang beliau yakin banyak peruntukan undang-undang telah dilanggar dan unsur-unsur salahguna kuasa berlaku di dalam memberikan kelulusan operasi kilang RDF terbabit.

Kilang RDF di Hulu Semenyih ini merupakan projek yang diluluskan oleh mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor dan mula beroperasi sekitar bulan Jun 2006. Kemudahan kilang tersebut yang menelan belanja RM130 juta berkeupayaan memproses 1000 tan sampah pepejal. Bagaimanapun setakat ini kilang tersebut yang belum beroperasi dengan kapasiti penuh hanya memproses 300 tan dari keseluruhan 700 tan sehari yang dikutip oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk menghasilkan tenaga elektrik sebanyak 8.9 megawatt. Sebanyak 5.5 megawatt daripada jumlah tersebut dijual kepada pihak Tenaga Nasional. Kilang RDF ini diurus oleh syarikat Recycle Energy Sdn Bhd yang merupakan sebuah syarikat persendirian yang mendapat kontrak melupus dan memproses sampah pepejal dari Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Apa yang menjadi persoalan penduduk ialah samada kilang tersebut telah mendapatkan kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menjalankan operasinya. Adalah mustahil untuk kelulusan JAS diberikan memandangkan pencemaran baunya begitu teruk sekali dan amat menjejaskan kualiti kehidupan penduduk setempat. Tanpa kelulusan JAS, bagaimana pula sijil layak menduduki (CF) boleh diperolehi dari Majlis Perbandaran Kajang. Persoalan-persoalan ini terus menghantui penduduk tanpa kesudahan kerana pihak berwajib dan wakil rakyat langsung tidak memperdulikan rintihan penduduk kampung terbabit.

Kajian yang dibuat penulis menunjukkan bahawa kilang RDF yang dibina dan beroperasi di negara-negara maju mestilah mempunyai sistem kawalan pencemaran bau dan habuk (Odor and Particulate Control System) yang merupakan suatu kemestian dibawah undang-undang sebelum permit operasi RDF diluluskan. Operasi kilang RDF yang melibatkan pembakaran (combustion) bagi menghasilkan tenaga elektrik boleh menyebabkan pencemaran udara dan bau busuk yang lebih teruk berbanding proses gasifikasi (gassification) insenator yang biasanya lebih dikaitkan dengan pencemaran sumber air bawah tanah di samping pelepasan gas toksid merbahaya seperti dioxin.