My Podium

Sunday, November 02, 2008

Malaysian Unity Government?

(1)

Saya berpandangan cadangan Ku Li agar diwujudkan “unity government” yang merangkumkan dua blok politik iaitu BN dan Pakatan bagi sama-sama membentuk kerajaan Malaysia adalah suatu yang amat menarik. Ku Li berhujah bahawa cabaran yang dihadapi oleh negara pada masa ini dan akan datang adalah amat besar dan sukar. Seluruh rakyat perlu digembelengkan secara bersama bagi menghadapi cabaran ini dan tidak ada satu parti pun yang mampu memikul tanggungjawab ini secara bersendirian, baik BN mahupun Pakatan. Lebih menarik, beliau menyebut bahawa “unity government” ini mestilah diasaskan di atas integriti.

Secara prinsipnya saya bersetuju dengan Ku Li. Kerajaan Perpaduan ini sekiranya dapat dijayakan pastinya lebih baik berbanding kerajaan yang diterajui secara eksklusif oleh BN mahupun Pakatan. Tetapi, laluan ke arah itu pastinya amat sukar. Isu pembahagian potfolio kabinet diperingkat pusat dan negeri-negeri, penghapusan beberapa akta drakonian, dasar liberalisasi ekonomi dan media, dan beberapa isu-isu yang bersifat “thorny” tentunya amat sukar untuk diputuskan secara bersama dalam kabinet Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan. 

Komponen Pakatan pastinya tidak mahu berada dalam kerajaan yang masih meneruskan ISA. BN pula pastinya tidak rela penguasaan mutlak mereka ke atas media dijadikan korban bagi mewujudkan Kerajaan Perpaduan ini. 

Dari sudut mekanisma politik yang sedia ada, cadangan Ku Li ini dilihat terlalu amat sukar untuk direalisasikan. Pun begitu, sekiranya rakyat menunjukkan hasrat yang besar ke arah itu, parti-parti politik tidak ada pilihan. Mereka perlu akur dengan kehendak rakyat, atau gulung tikar. Lihat saja PAS dan DAP. Kedua-duanya lebih selesa untuk tidak bersama membentuk kerajaan.Tetapi, oleh kerana isyarat rakyat begitu jelas bahawa kedua-duanya perlu duduk bersama membentuk kerajaan di beberapa negeri, maka kedua-duanya tidak ada pilihan. Mereka perlu belajar untuk duduk bersama, berbincang bersama, dan mengambil tanggungjawab bersama, biar betapa sukar sekalipun laluan yang terpaksa ditempuh. Kalau mereka ingkar kehendak rakyat, maka lebih baik mereka gulung tikar sahaja. 

Begitu jugalah halnya dengan kewujudan Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan oleh Ku Li. Kalau rakyat mahukan ianya berlaku, insyaAllah ia akan berlaku. Dan, itulah yang saya harapkan.

(2)

Perlantikan Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar PKNS oleh MB Selangor mendapat bantahan beberapa pihak yang mewakili kakitangan PKNS sendiri. Malangnya, asas yang dinyatakan terhadap bantahan itu amat memalukan iaitu – “tidak pernah berlaku dalam sejarah PKNS orang bukan Melayu dilantik memimpin badan yang objektifnya adalah untuk membantu bumiputera.”

Apakah kakitangan PKNS juga lupa bahawa tidak pernah dalam sejarah negeri Selangor bahawa pentadbiran kerajaan negeri diterajui oleh Pakatan Rakyat? Apakah salah untuk negeri Selangor mencipta sejarah baru.

Apa yang lebih mengecewakan saya ialah, ramai di kalangan rakan-rakan PAS sendiri yang membantah perlantikan ini dengan hujah yang sama. Mereka juga bertanya, “tiada lagikah orang Melayu yang layak?”.

Hakikatnya, tentu ramai orang Melayu yang layak dan mustahil tidak ada orang Melayu yang layak untuk menerajui PKNS. Tetapi, layak sahaja belum tentu mencukupi, kerana rakyat hanya mahu yang terbaik. Kalau betul perlantikan Low Siew Moi adalah berdasarkan merit dan pemilihan beliau merupakan pilihan terbaik untuk PKNS, maka PAS wajar memberi sokongan terhadap perlantikan ini. Kalau tidak, maka penilaian juga mestilah dibuat secara objektif dan adil. Bukankah ini prinsip yang diajar oleh Islam yang menjadi dasar PAS?

Kalau nak bantah pun, biarlah cerdik sikit. Bantahlah atas faktor merit, dan bukannya atas faktor keturunan. Tentunya sukar untuk kita percaya bahawa Low Siew Moi ini tidak ada kelemahan langsung dari sudut prestasi kerja. Sekiranya bantahan hanya tertumpu atas faktor keturunan beliau sahaja, ianya seolah-olah hanya membuktikan bahawa dari sudut merit dan keupayaan, perlantikan beliau tidak ada langsung cacat celanya. Dalam kata lain, bantahan tersebut sebenarnya hanya akan memperkukuhkan kesahan (legitimacy) perlantikan beliau ke jawatan tersebut. Bukan kerana bantahan tersebut tidak betul, tetapi kerana ianya dibuat atas premis yang mungkar (perkauman) dan dangkal.

Kalaupun pilihan MB Selangor mungkin yang terbaik, cara keputusan itu dibuat tentunya boleh banyak diperbaiki. Saya difahamkan MB Selangor tidak berbincang dengan rakan-rakan pimpinan dalam Pakatan di Selangor di dalam membuat keputusan yang berkaitan dengan GLC di Selangor. Bukan sahaja yang berkaitan dengan PKNS, malah juga yang melibatkan lain-lain GLC. Semunya dibuat oleh MB tanpa berbincang terlebih dahulu dengan rakan pimpinan dalam Pakatan. Saya bimbang keberanian rakyat Selangor membuat perubahan dalam pilihanraya lepas dirosakkan hanya oleh tindakan dan keputusan seorang MB yang kurang kelayakan dan amat tidak meyakinkan. 

Apa sudah jadi dengan Majlis Pakatan Rakyat di peringkat negeri?