My Podium

Tuesday, April 07, 2009

Ulasan PRK Bukit Gantang

Pada pukul 9.20 malam, 7 April’09 keputusan angka yang dinantikan pun terpapar di laman web Malaysiakini:

9.20pm Bukit Gantang OFFICIAL RESULTS
Mohd Jamaluddin Nizar (PAS) 21,860Ismail Saffian (BN-Umno) 19,071Kamarul Ramizu Idris (Ind) 62
Majority - 2,789 (In 2008, the majority was 1,566)
Secara umum dapat disebutkan bahawa:

Majoriti kemenangan PR menokok dengan lonjakan yang amat memberangsangkan dengan peningkatan hampir sekali ganda.
PR dan BN kedua-duanya berjaya menambah undi masing-masing. Bagaimanapun Nizar mendapat lonjakan undi yang jauh lebih tinggi dengan peningkatan sokongan undi Melayu dan bukan Melayu.

Di DUN Kuala Sepetang yang ramai pengundi bukan Melayu, Nizar mendapat lonjakan undi majoriti menghampiri 2,000 undi, manakala di DUN Changkat Jering, majoriti undi PR kekal di paras tahun 2008, iaitu sekitar 1,700 undi. Apapun, angka yang paling manis untuk PAS ialah apabila berjaya mengurangkan undi majoriti BN di DUN Trong yang merupakan kubu kuat UMNO kepada hanya sekitar 600 undi sahaja. Di DUN Trong, PAS dapat meraih peningkatan sokongan pengundi Melayu kepada PR walaupun isu teras yang dijaja oleh petugas BN ialah kononnya Nizar adalah “boneka DAP” dan “penderhaka”.

Di Changkat Ibol, kawasan pengundi Melayu melebihi 90%, undi yang diperolehi PAS adalah lebih sekali ganda berbanding BN. Di Bukit Gantang Selatan, satu lagi kawasan padat Melayu yang menjadi kubu kuat UMNO, jentera PAS berjaya mengurang majoriti undi BN kepada cuma 15 undi, berbanding melebihi 100 undi pada tahun 2008.

Bagaimanapun, pengaruh UMNO di beberapa kawasan majoriti Melayu masih utuh, seperti di sekitar kawasan Sungai Tinggi, walaupun Markas Operasi Jentera Pilihanraya PAS untuk DUN Trong berpusat di Sungai Tinggi. Hasil tinjauan saya mendapati banyak persepsi negatif masyarakat tempatan terhadap PAS di sini adalah hasil sikap “keras” dan “kombatif” beberapa aktivis PAS tempatan di Sungai Tinggi yang dilihat kurang mesra rakyat. Perkara ini wajar diperbetulkan oleh kepimpinan PAS Bukit Gantang.

Apapun isu yang masih signifikan untuk dibincangkan pasca PRK Bukit Gantang ialah berkenaan tindakan orang bukan Islam membaca ayat Al-Quran. Saya menghormati SS Dato’ Mufti Perak, tetapi dalam isu ini saya memilih untuk “sembah derhaka” dengan pandangan SS Dato’ Mufti Perak. Bagi saya, tindakan orang bukan Islam membaca ayat Quran, walaupun pelat, bukanlah suatu penghinaan terhadap Islam. Malah ia menunjukkan bahawa dakwah Islam sudah mula melangkah ke era baru. Adalah lebih menghina Islam sebenarnya bagi orang Islam yang tidak tahu membaca Quran, atau tida mahu menjadikan Quran sebagai hujah dalam mengupas isu-isu yang berkait dengan kehidupan manusia.

Maaf SS Dato Mufti, saya mohon derhaka!