My Podium

Saturday, December 15, 2007

Hegemoni BN di Malaysia

Hegemoni di Malaysia.

Hegemoni (hegemony) berasal dari perkataan Greek yang diambil dari perkataan “hegemon” yang bermaksud “pemimpin” atau “penguasa” dalam bahasa Greek.

Definisi perkataan hegemony dalam bahasa Inggeris adalah bermaksud “dominasi dan penguasaan satu kelompok di dalam masyarakat atau negara ke atas kelompok-kelompok yang lain”.

Dalam konteks Malaysia, kewujudan hegemoni BN di negara kita adalah dalam bentuk yang total dan mutlak. BN bukan sahaja sebagai sebuah parti politik pemerintah, tetapi juga sebagai satu kelompok masyarakat yang mendominasi dan menguasai kehidupan rakyat dalam hampir semua aspek kehidupan. Suasana hegemoni yang dibentuk oleh BN dan seluruh institusi-institusi yang berada di bawah penguasaan komponen BN, samada secara langsung atau tidak langsung, telah menyebabkan hak dan kebebasan rakyat dalam sebuah negara demokratik semakin terancam. BN, sebagai sebuah parti politik pemerintah bukan sahaja berkuasa, tetapi mereka mahu agar kuasa mereka tidak langsung boleh dicabar dalam apa bentuk sekalipun.

Juga, terdapat tanda-tanda yang cukup jelas bahawa pemimpin politik BN sudah sampai ke tahap “ketagih” dengan suasana hegemoni yang mereka nikmati sehingga sebarang usaha untuk dianggap mencabar hegemoni ini akan berhadapan dengan tindakan yang keras dan drakonian sifatnya dari pemerintah. Contohnya, slogan “pembangkang sifar” yang dilancarkan di negeri-negeri yang dikuasai BN adalah petanda jelas bahawa ketagihan terhadap hegemoni ini semakin menjadi-jadi di kalangan pemimpin BN. Sekiranya suasana hegemoni ini tidak dirungkai sekarang, hak demokratik dan kebebasan rakyat akan semakin terancam dan terpinggir.

Hegemoni melalui penguasaan badan eksekutif ke atas badan kehakiman dan perundangan.

Walaupun pemisahan antara Badan Eksekutif dan Badan Kehakiman adalah perkara asas sistem tadbir kerajaan yang demokratik, hakikatnya Perdana Menteri yang memilih dan mencadangkan nama Ketua Hakim Negara untuk diluluskan oleh YDP Agong. Perlembagaan Malaysia pula, selepas pindaan perlembagaan yang menghadkan kuasa Raja-raja Melayu, memperuntukkan bahawa YDP Agong hanya boleh bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri.

Secara mudahnya, Perdana Menteri selaku ketua Badan Eksekutif pentadbiran negara mempunyai kuasa yang besar menentukan perjalan Badan Kehakiman dengan melantik Ketua Hakim Negara tanpa ada suatu sistem saringan atau timbalbalas yang efektif. Dalam masa yang sama, Perdana Menteri jugalah yang menguasai lebih dua pertiga ahli-ahli parlimen yang merupakan Badan Perundangan (Legislatif) negara. Maka itu, seluruh perjalanan pentabiran kerajaan, iaitu Badan Eksekutif, Badan Legislatif, dan Badan Kehakiman diletakkan di bawah penguasaan Perdana Menteri secara mutlak. Tidak wujud suatu sistem pemisahan kuasa di antara ketiga-tiga badan pentadbiran negara ini.

Pengendalian bicara kes melibat Anwar Ibrahim pula memperkukuhkan rasa sangsi pihak awam terhadap kebebasan Badan Kehakiman serta campurtangan Badan Eksekutif di dalam sistem kehakiman negara. Manakala pendedahan klip video perbualan telefon Dato’ VK Lingam dengan seorang Bekas Ketua Hakim Negara berkenaan perlantikan para hakim pula seolah-olah menyimpulkan tanpa sebarang keraguan bahawa pencemaran ke atas Badan Kehakiman negara sudah berada di peringkat yang cukup parah.

Selain itu, di dalam pentadbiran Badan Eksekutif itu sendiri, Perdana Menteri juga meletakkan institusi penguatkuasaan undang-undang utama negara, iaitu Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Badan Pencegah Rasuah (BPR), secara terus di bawah pengawasannya. Walaupun ada pandangan dan cadangan agar kedua-dua institusi penguatkuasaan ini diletakkan terus di bawah Parlimen (Badan Legislatif) bagi menjamin ketelusan dan keseimbangan terhadap pertanggungjawaban mereka kepada seluruh rakyat, ianya masih jauh dari realiti.

Presiden Pervez Musharraf mungkin tidak perlu menghisytiharkan pemerintahan darurat di Pakistan seandainya beliau mempunyai penguasaan mutlak sepertimana Perdana Menteri Malaysia. Kuasa yang sebegitu besar yang ada pada seorang Perdana Menteri Malaysia menyamai kuasa yang ada pada seorang diktator yang memerintah negara secara pemerintahan darurat.

Hegemoni melalui undang-undang drakonian.

Penguasaan mutlak BN di dalam Parlimen digunakan sepenuhnya untuk mengukuhkan hegemoni mereka dengan penggubalan undang-undang yang menyekat hak dan kebebasan rakyat. Beberapa peruntukan undang-undang di dalam Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Polis dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) telah secara mudah dan cuai digunakan oleh BN untuk memastikan hegemoni mereka tidak tercabar. Seringkali alasan keselamatan negara dan ketenteraman awam dijadikan justifikasi bagi menggunakan peruntukan undang-undang di atas bagi mengekalkan hegemoni BN.

Institusi polis yang menjadi elemen penting dalam kerajaan bagi menguatkuasakan undang-undang dengan secara mudah boleh diperalatkan oleh parti pemerintah dengan menggunakan peruntukan-peruntukan akta di atas bagi mengekalkan hegemoni BN. Undang-undang di atas dikuatkuasakan secara terpilih mengikut selera pemimpin BN. Jika ada penentangan dari mana-mana pihak terhadap perlaksanaan peruntukan tersebut, maka pemerintah dengan mudah bersembunyi di sebalik alasan penguatkuasaan undang-undang sebagai justifikasi mereka. Mereka lantas mewarwarkan tentang “Rules of Law”, padahal hakikatnya, yang diamalkan ialah “Rules by Law”.

Sebagai contoh, hak berhimpun secara aman adalah dijamin oleh perlembagaan. Bagaimanapun Akta Polis sering digunakan secara terpilih untuk menafikan golongan yang menjadi seteru politik BN dari membuat gerakan mobilasi rakyat atau penentangan popular secara aman (peacefull uprising) yang merupakan kaedah gerakerja politik yang sah dalam sebuah negara demokrasi. Dalam keadaan suasana politik negara berada suasana sejuk, maka ceramah dan himpunan kecil akan dibenarkan, dan kerajaan menjadikan ini sebagai hujah bahawa mereka masih membenarkan parti-parti politik bergerak. Namun, apabila suasana politik berada dalam suasana panas dan pihak pemerintah bimbang sesuatu isu boleh menggugat hegemoni mereka, maka Akta Polis akan digunakan seenaknya bagi mengekang sebarang usaha mengerakkan bantahan dan penentangan awam secara aman.

Ibaratnya, dalam permainan bola, anda hanya dibenarkan menendang bola ketika mana bola berada di tengah padang. Apabila bola telah berjaya dibawa menghampir gawang gol lawan, maka anda tidak lagi dibenarkan menendang bole tersebut. Akibatnya, anda hanya kelihatan seperti bermain bola, tetapi anda tidakdibenarkan menjaringkan gol.

Penguatkuasaan undang-undang secara terpilih dan tidak konsisten adalah senjata penting BN bagi mengekalkan hegemoni mereka ke atas rakyat. Pelajar universiti akan diambil tindakan di bawah AUKU hanya sekiranya mereka didapati terbabit dengan aktiviti yang bertentangan dengan kepentingan parti pemerintah. Pegawai tinggi kerajaan akan diambil tindakan di bawah Arahan Am Kerajaan hanya sekiranya mereka terbabit dengan parti-parti politik pembangkang. Perhimpunan aman akan diambil tindakan oleh Polis hanya sekiranya ia tidak mendapat restu pemimpin parti pemerintah. Malah, para perwakilan UMNO telah membuat ucapan perkauman yang melampau dalam Perhimpunan Agung parti itu dalam tahun 2006 tanpa sebarang tindakan undang-undang diambil. Ucapan yang sama, sekiranya dilakukan oleh pemimpin pembangkang pastinya akan menempatkan beliau dalam senarai tahanan ISA.

Hakikatnya, sesiapapun boleh dan telahpun melanggar kesemua peruntukan undang-undang di atas tanpa sebarang tindakan undang-undang diambil ke atas mereka sekiranya pelanggaran tersebut menepati kehendak dan citarasa parti pemerintah.

Adakah keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang adalah kurang penting berbanding penerusan hegemoni BN?

Hegemoni melalui penguasaan mutlak ke atas media.

Hegemoni media oleh BN adalah kesan langsung dari Akta Penerbitan dan Mesin Cetak. Kalau penguatkuasaan undang-undang drakonian secara terpilih merupakan “hardpower” bagi mengekalkan hegemoni, media merupakan pasangan komplimentarinya, iaitu “softpower”, bagi BN mendominasikan segala kehendak dan agenda mereka ke atas semua golongan rakyat.

Kesemua media arus media di negara kita dikawal samada secara langsung atau tidak langsung oleh parti pemerintah. Walaupun, Media Prima, sebagai contoh, adalah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham awam, pegangan majoriti saham syarikat tersebut akan sentiasa dipastikan berada dalam kawalan mereka yang berkepentingan dengan parti pemerintah.

Tanpa sokongan media yang dikawal secara mutlak, BN tidak mungkin dapat mengekalkan hegemoni mereka begitu lama. Pemimpin BN selalu mendakwa bahawa mereka mewakili majoriti rakyat kerana mereka mendapat mandat pemerintahan melalui sistem pilihanraya dengan undi majoriti rakyat. Hakikatnya, pilihanraya yang diamalkan tanpa capaian media yang bebas dan adil kepada semua pihak yang terlibat, adalah suatu bentuk lakonan demokrasi yang tempang. Mana mungkin para pengundi dapat membuat keputusan yang adil dan bijak tanpa dibekalkan dengan maklumat yang cukup dan seimbang.

Alangkan para hakim yang arif lagi bijaksana perlu mendengar penghujahan dan fakta dari semua pihak yang terlibat di dalam sesuatu kes mahkamah sebelum dapat membuat keputusan yang adil dan berwibawa, inikan pula para pengundi yang mahu membuat penghakiman politik melalui undi mereka di dalam pilihanraya.

Peranan media seharusnya seimbang, ibarat wujudnya pihak pendakwaan dan pembelaan dalam sebuah mahkamah. Hakikatnya, pengundi adalah ibarat hakim yang perlu membuat keputusan berdasarkan maklumat yang lengkap dan seimbang semasa hari pengundian.

Dakwaan pemerintah bahawa para pengamal media di negara kita menggunakan kaedah “responsible self-scensorship” bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan negara adalah amat tidak meyakinkan. Hakikatnya, banyak penerbitan yang dipaksa menghentikan operasinya atas tekanan pihak berkuasa tanpa sebarang alasan keselamatan dan keamanan yang kukuh. Permohonan untuk mendapat permit penerbitan juga disaring secara ketat dan kepentingan politik parti pemerintah akan sentiasa diberi keutamaan di dalam meluluskan sebarang permit penerbitan.

Walaupun parti-parti politik dibenarkan untuk mengeluarkan buletin parti masing-masing tetapi syarat yang dikenakan amat ketat dan tidak munasabah. Kekerapan pengeluaran sebanyak dua kali sebulan dan syarat kandungan yang hanya membenarkan liputan program dalaman parti sahaja amat tidak adil dan sukar dipatuhi. Penguatkuasaan ke atas syarat-syarat ini juga dibuat secara terpilih dan tidak konsisten. Biasanya pihak berkuasa akan bertindak lebih tegas ke atas pembangkang sekiranya terdapat isu-isu panas yang dianggap boleh menggugat parti pemerintah.

Kewujudan internet juga tidak mampu menyediakan maklumat yang cukup dan seimbang secara menyeluruh kerana capaian internet yang rendah di kalangan rakyat.

Dengan kekangan terhadap program ceramah, himpunan aman, dan bahan-bahan penerbitan, apakah kita yakin bahawa rakyat keluar semasa mengundi dengan berbekalkan maklumat yang cukup dan seimbang bagi membuat keputusan secara adil dan bijaksana?

Hegemoni melalui penguasaan rangkaian perniagaan strategik.

BN sebagai parti pemerintah bukan sahaja menguasai seluruh kuasa dalam sistem pemerintahan politik negara, tetapi juga menguasai sebahagian besar aktiviti ekonomi yang secara terus membabitkan kehidupan harian rakyat melalui perolehan rangkaian perniagaan yang menjadi “proksi” parti dan juga penguasaan ke atas syarikat-syarikat GLC.

Syarikat media, pengangkutan, telekomunikasi, tenaga, gas & petroleum, infrastruktur, dan bahan keperluan asas, hampir kesemuanya dikuasai oleh rangkaian syarikat perniagaan yang berhubung kait rapat dengan parti-parti pemerintah ataupun GLC yang juga dikuasai oleh pemimpin politik BN.

Semua parti-parti komponen BN mempunyai sayap perniagaan yang digabungjalin sesama mereka bersama syarikat GLC. Contohnya, UMNO, melalui Renong Berhad, menguasai rangkaian ratusan syarikat-syarikat yang strategik yang mendapat kontrak kerajaan serta GLC, dan mendapat keuntungan dengan sistem perniagaan monopoli. Begitu juga dengan MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti komponen BN lain.

Dengan penguasaan ekonomi yang begitu besar, pemimpin BN dengan secara mudah boleh menekan para penentangnya samada dari dalam mahupun luar parti. Para penyokong akan digula-gulakan dengan ganjaran kewangan yang besar, manakala para penentang perlu bersedia dengan akibat kewangan yang besar juga. Tidak hairanlah kalau ramai tokoh-tokoh yang pada mulanya berani menyuarakan penentangan terhadap pucuk pimpinan BN akhirnya terpaksa menjilat ludah mereka semula akibat tekanan kesengsaraan ekonomi yang dikenakan ke atas mereka.

Hegemoni melalui manipulasi isu perkauman

Isu perkauman dan agama adalah amat sensitif dan amat berkesan mempengaruhi hati dan pemikiran rakyat. Parti pemerintah sentiasa berjaya memanipulasikan isu ini untuk memastikan penerusan hegemoni ke atas rakyat menerusi sistem “pecah dan perintah”. Kepada kaum Melayu, UMNO sering menakutkan mereka bahawa sekiranya UMNO kalah atau lemah, maka kuasa politik negara akan diambil oleh bangsa lain. Perasan takut sekiranya orang Melayu kehilangan kuasa politik menjadi menjadi modal dan umpan bagi UMNO meraih sokongan kaum Melayu.

Bagi kaum Cina dan India pula, momokan bahawa kejatuhan BN akan membawa kepada keruntuhan kontrak sosial antara kaum yang sedia ada serta andaian akan meningkatnya polarisasi kaum dan agama menakutkan pengundi untuk menukar kerajaan walaupun mereka mungkin amat tidak berpuas hati dengan prestasi pemerintah yang sedia ada.

Dalam kata lain, rakyat mengundi atas dasar takut terhadap kemungkinan yang lebih buruk, dan bukannya atas dasar harapan membina kehidupan yang lebih baik.

Sindrom “vote out of fear, and not for hope” akan memastikan pengekalan status quo dan hegemoni BN yang berpanjangan.

Tiada remedi mudah menghadapi hegemoni BN.

Satu-satunya harapan keluar dari kemelut ini adalah melalui kesedaran rakyat serta kebangkitan popular. Benar, dengan kekangan media yang sedia ada, kemungkinan berlakunya kesedaran yang meluas yang bakal mendorong kebangkitan popular agak sukar dijana. Tetapi itulah satunya-satu jalan keluar yang ada, dan jalan sukar ini mesti dirintih dengan penuh sabar dan hikmah.

Rakyat mesti terus didampingi dan disantuni. Setiap kata-kata dan tindakan kita mestilah mengambil kira hati dan perasaan rakyat. Jangan memusuhi rakyat, biar sebesar mana kebencian sebahagian mereka terhadap kita. Jangan kita hukum mereka dengan kata-kata yang kasar. Pelbagai pendekatan dan kaedah perlu dilaksanakan. Belanjanya besar, dan masanya juga tidak singkat.

Kita juga mesti mampu menyediakan jalan keluar terhadap kemelut yang ada. Mereka mesti diyakinkan dengan komitmen dan keupayaan kita. Tiada jalan pintas dan tiada formula ajaib.