My Podium

Thursday, May 01, 2008

Al-Kisah waibi Karpal.

Al-Kisah sidang para waibi di Dewan Pacal semalam dikonon-khabarkan amat sekali kecohnya.

Hatta, memanda Penerangan bertitah, "adapun tingkah sekalian waibi di Dewan Pacal amat jelek. Firasat hamba, amat tidak wajar siaraya tonton 30 minit diteruskan". Padahal para jelata tidak sanggup hak siaraya tonton itu dihentikan. Itu hak mereka untuk melihat segala tingkah waibi mereka di Dewan Pacal....mulia atau hina!

Waibi Karpal berangkara tingkah dengan waibi Bung Kinabatangan. Beruk-beruk dipanggil, para waibi menjerit, terpekik. Pacal-pacal tersirna...

Waibi Brahim Pasir Mas berangkara tingkah pula ke atas waibi Karpal.

Gerangan apa waibi Karpal punya begitu ramai nemesis.

Sememangnya waibi Karpal sudah tidak lagi pantas berpencak di Dewan Pacal. Buah fikirnya terlalu amat lampau lagi remeh. Masakan soal angkat tangan waibi bersumpah jadi gaduh besar. Padahal para jelata tidak kisah waibi angkat tangan bersumpah.

Para jelata bimbang soal harga dan bekal barang. Soal bandit berleluasa. Soal pengagihan laba negara. Soal amal saksama. Bukan soal angkat tangan.

Sikap waibi Karpal juga agak makin chauvinis. Mahu gaduh dengan semua orang. Padahal ramai bentara-bentara muda dari Laskar Roketnya sudah makin matang dan terbuka. Baik juga kiranya waibi Karpal berundur saja dari Pencak Politi.

Tingkah Karpal boleh jadi punca pakatan Laskar Roket, Laskar Mata Biru, dan Laskar Purnama berduel. Mulutnya tajam celupar. Padahal inilah yang amat digemari oleh para bentara Laskar Dacing, seteru mereka di Dewan Pacal.

Al-Kisah gerangan waibi Karpal. Baik diam dan berundur. Masa tuan hamba berpencak sudah berlalu!