My Podium

Monday, November 24, 2008

Perihal kandang babi dan kandang manusia

(1)

“Pelan peralihan kuasa” menjadi fenomena besar dalam UMNO selepas keputusan PRU-12 Mac lepas. Soalnya, kenapa perlu kepada pelan peralihan kuasa? Hakikatnya, pelan peralihan kuasa adalah usaha terdesak pimpinan tertinggi untuk menggunakan kuasa yang ada untuk kekal berkuasa untuk beberapa ketika lagi ataupun untuk menentukan orang yang bakal menggantinya.

Pelan peralihan kuasa yang dirancang oleh Pak Lah terpaksa dipercepatkan kerana ianya tidak memenuhi hasrat ahli-ahli diperingkat akar umbi. Manakala pelan peralihan Rafidah Aziz langsung gagal, juga kerana arus bantahan yang kuat dari akar umbi. Jelas, pelan peralihan kuasa tidak boleh popular di zaman manusia semakin demokratik dan assertif dengan hak dan hasrat mereka untuk terlibat dalam proses menentukan kepimpinan organisasi. Tampaknya, pelan peralihan kuasa merupakan singgungan tajam terhadap keupayaan intelektual ahli-ahli di peringkat akar umbi.

Saya bukan ahli UMNO. Tetapi saya juga pastinya akan menentang sebarang pelan peralihan kuasa sekiranya ia diusahakan oleh pimpinan parti yang saya dokong. Apa perlunya pelan peralihan kuasa sekiranya parti sudah ada mekanisma pemilihan pimpinan secara yang demokratik?

(2)

Semalam, sekitar 100 orang anggota pertubuhan PEWARIS menghantar memorandum menyokong akta ISA dikekalkan. Mereka berarak dengan memakai T-Shirt bertulis “Yes to ISA” dan kain pengikat dahi bertulis “Hidup Melayu, Hidup Islam”. Selain dari itu mereka juga mambawa kain rentang bertulis “Tidak Perlu Kandang Babi di Tanah Melayu”.

Apa kaitan ISA dengan “Hidup Melayu, Hidup Islam”? Apa pula kaitan ISA dengan kandang babi? Apa kaitan Islam dengan kandang babi? Apakah ajaran Islam tidak membenarkan babi dikurung dalam kandang? Kenapa kumpulan ini boleh menyokong manusia dikurung di kandang ISA, tetapi menentang apabila babi dikurung dalam kandang. Apakah babi itu lebih mulia dari manusia? Kalau tak boleh buat kandang babi, maka di mana pula babi-babi mahu dikurung. Kalau babi tidak boleh dikandang, maka apakah Islam mahu babi dibiarkan berkeliaran begitu saja. Aneh pemikiran seperti ini.

Kalau begitu, saya mencadangkan agar kesemua tahanan ISA dibebaskan, dan kem tahanan Kemunting itu ditukar saja statusnya sebagai kandang babi. Maka seluruh babi-babi yang ada dikurung di Kemunting. Tak payah buat kandang babi baru.

Dan, apakah juga Islam memerlukan ISA? Apakah dakwah Islam akan tergugat tanpa ISA? Apakah Melayu dan Islam tidak boleh hidup tanpa ISA? Kalau ISA itu perlu untuk memastikan Islam terus hidup, maka kenapa pula penjajah British memperkenalkan akta ISA ini dulu. Apakah ketika penjajah British memperkenalkan ISA, mereka mahu Melayu dan Islam terus hidup di Tanah Melayu.

Ada banyak cara manusia boleh menunjukkan kebodohan masing-masing. Tetapi cara yang dilakukan oleh anggota-angota pertubuhan PEWARIS ini adalah yang paling memualkan.

(3)

Khaled Mishaal, pemimpin Hamas yang berpengkalan di Syria menyatakan bahawa apa yang berlaku di Gaza adalah sesuatu yang amat memalukan dunia Arab dan Islam. Hospital tiada ekalan ubat dan elektrik. Gaza menjadi kandang manusia terbesar di dunia. Umat Palestin di Gaza mati secara perlahan dalam penderitaan dan seluruh umat Arab dan Islam memandang saja dengan putih mata. Di mana maruah kita?

Minggu lepas, sekumpulan NGO Islam menghantar memorandum meminta Perdana Menteri menerima pelarian Palestin untuk tinggal di Malaysia. Mereka berikrar akan berusaha membiayai kehidupan pelarian ini asal saja kerajaan sanggup menerima mereka tinggal di negara kita.

Wahai Perdana Menteri…kuasa di tangan anda sudah berada dipenghujung. Gunakan sebaiknya sekarang untuk melakukan usaha yang mulia dan murni ini.